Nurin Hidayatullah Sudah Bersekolah! - CIK MIL MILA

Friday, January 10, 2014

Nurin Hidayatullah Sudah Bersekolah!

Bersiaran kembali di ruangan ini setelah sekian lama menyepi di sini. Di sini je sepi, tapi di FB 'pung pang pung pang'. Maklum tugas suri rumah bekerja makin mencabar. Anakanda sulung saya, Nurin sudah memulakan persekolahan darjah satu. Anakanda kedua, Alya masuk 6 tahun. Cepat sungguh masa berlalu.

Banyak dalam kepala mahu cerita ni. Saya cerita pengalaman anakanda Nurin pada hari pertama persekolahan. Seronok betul. Huru hara juga. Kami daftarkan Nurin di SK Cyberjaya memandangkan lokasi strategiknya berdekatan dengan rumah dan pejabat saya (bekas pejabat). Kita merancang Allah tentukan, mana saya nak tahu yang saya sudah pun berhenti kerja. Tak mengapalah. Memang ramai ibu bapa yang tinggal di kawasan rumah saya menghantar anak mereka ke sini. Lebih kurang 5km sahaja. Pukul 7 kami sudah keluar rumah. Agak awal bagi saya sebab selama ni menghantar mereka ke tadika sekitar 8-8:30 pagi. Suami pun ke pejabat pukul 7:30 pagi. Rutin kami memang berubah sama sekali. Saya gembira sebab Nurin bersekolah seisi pagi. Mudah untuk urusan bisnes saya. Alya kami bawa sekali kerana sekolah tadikanya belum memulakan seisi persekolahan lagi.

Sesampainya di sekolah kami menyemak kelas Nurin. Itupun bila saya perasan ramai ibu bapa berkerumun di papan kenyataan. Kedudukan kelas bergantung kepada ujian diagnostik yang mereka duduki pada bulan November lalu. Alhamdulillah, Nurin mendapat subjek elektif Bahasa Cina seperti yang kami rancangkan. Kalau ikut syarat dan terma untuk Bahasa Cina, hanya pelajar yang mendapat markah tertinggi sahaja boleh mengikuti kelas elektif ini. Hanya dua kelas terpilih kerana kekurangan tenaga pelajar. Syukurlah.

Kami berempat mencari kelas Nurin. Untungnya kelas dia di tingkat bawah sekali berhadapan dengan tempat berhimpun. Saya letak beg dia di bahagian hadapan dan di tengah-tengah supaya dia boleh fokus belajar nanti. Kemudian murid-murid dipanggil berhimpun mengikut kelas masing-masing. Ibu bapa hanya dibenarkan berdiri di tepi. Mulalah seisi perkenalan ibu bapa pula, sambil tu bertukar-tukar nombor telefon dan cerita. Bila ditanya saya kerja mana, kuat-kuat saya bagitahu saya bekerja dari rumah BUAT SHAKLEE. Bangga sangat bagitahu semua orang. Siap saya hulur pamphlet lagi. Ramai juga yang dah mengambil vitamin Shaklee tapi masih belum join member. Rugi rugi!!

Soalan famous: Boleh survive ke buat Shaklee?

Kalau tak survive saya pun tak berani nak resign kak...

Tengah borak-borak, ibu bapa kena tegur supaya tidak menungggu anak-anak di tepi kelas. Kami diarah duduk di kantin. Di kantin, sambung lagi borak sambil isi perut. Mahu tahu juga harga makanan di kantin ini. Boleh tahan la juga harganya. Saya beli nasi lemak biasa untuk Alya dan kuew tiaw goreng untuk diri saya berharga RM3. Huhu. Zaman saya sekolah rendah cuma 20sen sepinggan. Sekolah menengah 50 sen. Inflasi inflasi.

Pukul 10 anak-anak dibawa ke kantin dan mencari ibu bapa masing-masing. Rasa nak menangis saya masa ni sebab tak dapat mencari Nurin. Sesak kantin dengan ibu bapa. Tengah sibuk-sibuk mencari tiba-tiba Alya menangis meraung sambil terlompat-lompat. Terkejut betul saya. Ingatkan kenapa lah, rupanya ada kerengga merayap-rayap di kaki Alya. Tak pasal-pasal kami jadi 'centre of attention'. Malunya. Semua orang tengok dan ada juga yang bertanya kenapa, sebab nampak macam kes yang sangat serius. Huhu.

Bila tangis Alya reda, kami meneruskan misi mencari Nurin. Alhamdulillah.Rezeki saya dapat juga jumpa. Kesian Nurin cari saya. Kami duduk dan Nurin makan bekalan yang saya bekalkan. Roti bersama peanut butter. Kalau ikutkan jumlah murid-murid, memang memakan masa yang agak lama jika Nurin beratur membeli makanan di kantin. Jadi, cara terbaik ialah membekalkan makanan untuk dia.

Bila waktu rehat tamat kami menghantar anak masing-masing ke kelas mereka. Ingatkan mahu duduk tepi kelas lagi, hahaha...malang tak berbau kami kena 'halau' lagi.

Lupa nak cerita. Sesampainya ke sekolah pagi tu, saya perhati semua murid pakai kasut dan stokin hitam. Ha...macamana saya boleh tak tahu ni. Sebab saya beli sepasang kasut putih untuk Nurin. Nasib baik sepasang je, dan dia boleh pakai untuk Sekolah Rendah Agama petang nanti. Rupanya memang ada dinyatakan dalam surat pendaftaran. Haih. Cuainya kami ni.

Kembali cerita tadi. Bila kami dah 'dihalau' saya duduk dengan kawan baru saya. Beliau bekerja di HP Cyberjaya dan seorang lagi di MMU. Rupa-rupanya SK Cyberjaya ada FB dan semua pengumuman dibuat di situ. Kelas mereka pun sudah diupload di situ. Saya je yang tak tahu. Maklum, pengalaman pertama. Senarai buku tulis dan kelengkapan lain pun saya tak ada maklumat. Nasib baik kawan-kawan baru ni ajar.Pergi koperasi dan ambil senarai untuk Darjah 1. Isi form tu dan letak dalam tray nanti petugas kedai buku akan panggil nama. Ini tugas suami saya. Lama betul dia beratur.

Sehinggalah kelas tamat, suami saya masih lagi menunggu namanya dipanggil. Kelas tamat awal hari Khamis. Nurin keluar kelas bersama kawan-kawannya. Nampak ceria je muka dia. Alhamdulillah. Tak ada lah drama lagi macam di tadika dulu.  Bila suami selesai, kami pun bergegas pulang untuk persiapan sekolah agama pula.

Disebabkan seharian di sekolah, saya tak masak. Kami makan di kedai sekitar Putra Perdana. Makan dengan pantas dan terus pulang ke rumah. Nurin mandi sendiri dan saya tolong dia pakaikan baju. Bab keringkan rambut yang paling jenuh sebab dia pakai tudung. Takkan nak pakai tudung dengan rambut basah kan?

Tiba di sekolah agama, kami mencari kelasnya pula. Syukur hanya 1 kelas untuk Darjah 1 seisi petang, jadi tak perlulah Nurin bersesak-sesak di dalam kelas. Ada beberapa kelas darjah 1 di seisi pagi kerana mereka seisi petang di sekolah kebangsaan. Kami bayar yuran sekolah agama dan diarah pulang. Tiada seisi menunggu anak di sini memandangkan kelas-kelas lain semuanya sudah senior.

Malang sekali kami tak upaya pulang ke rumah untuk berehat kerana urusan pengeposan Shaklee dan misi mencari kasut dan stokin hitam. Untuk menjimatkan masa kami membahagikan tugas. Suami cari kasut dan dia meninggalkan saya ke PosLaju BB Bangi.

Alhamdulillah. Urusan selesai tepat pada waktu. Tepat jam 5:20pm kami sampai untuk menjemput Nurin pulang. Sangat seronok melihat Nurin boleh berdikari tanpa saya di sisi. Dia nampak gembira dan teruja. Alhamdulillah. Begitu juga kawan-kawan sebayanya. Tiada kisah air mata yang saya nampak. Masing-masing sudah bersedia ke dunia baru mereka.

Semoga anak-anak ini menjadi insan yang berbakti kepada agama, bangsa dan tanahair. In shaa Allah.

Ihsan: En Pie Da Legend


Nota kaki:  Tiada banyak gambar kerana saya terlupa membawa handphone. Kalut sangat.

Call/whatapps/sms: 019 2250752
Email : normila.muhamad@gmail.com
Add FB: https://www.facebook.com/normila.muhamad
Like Fan Page: https://www.facebook.com/MamanurinsVitaminShop
Blog Urus Akaun Bisnes Kecil:  www.normilamuhamad.blogspot.com

*Produk ini bukan bertujuan untuk mendiagnos, merawat, menyembuh atau mencegah sebarang jenis penyakit

No comments: