Temujanji Kedua di PDN - CIK MIL MILA

Thursday, September 19, 2013

Temujanji Kedua di PDN

Sudah lama saya nak sambung cerita tentang temujanji kedua ini. Saya belum bersedia sebenarnya untuk bercerita pada dunia. Hari ini, malam Jumaat yang barakah ini, saya sudah bersedia, Alhamdulillah.

7hb Ogos, 2013, adalah hari terakhir umat islam berpuasa dalam bulan Ramadhan tahun ini. Pada pagi itu, suami masih setia menemani saya mengunjungi Pusat Darah Negara untuk temujanji yang kedua. Temujanji pukul 9 pagi. Kami sampai awal memandangkan jalan raya ke Kuala Lumpur lengang. Pastinya ramai yang sudah berada di kampung atau masih dalam perjalanan.

Perjalanan pagi tu agak luar biasa kerana saya dan suami leka menikmati keindahan langit hari itu. Indahnya sangat luar biasa. Mungkin kah malam itu malam Lailatul Qadar? Langit hari itu seolah-olah menceritakan tentang peristiwa malam sebelumnya.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. 

Gambar ini sudah lama dalam simpanan saya. Saya pasti rindu dengan suasana Ramadhan tahun ini.



Sesampainya di PDN, hati ini berdebar-debar. Sudah saya pesan dengan diri sendiri apa pun keputusan yang saya terima, saya mesti redha. Terasa lambat pula masa berlalu, kerana saya datang awal sedangkan doktor di PDN belum bersedia.


Saya dipanggil. Doktor India Muslim. Lembut bicaranya menerangkan satu persatu tentang keputusan darah saya. Saya tahu saya cuma insan biasa yang lemah dan akhirnya air mata gugur satu persatu.

Inallillahiwaninnalillahirojiun.

Saya disahkan Hepatitis B positif. Bukan itu sahaja, saya juga reaktif .

Oh ya, hepatitis hanya boleh berjangkit dengan tiga cara

1. Seks
2. Pemindahan Darah
3. Seorang ibu kepada anaknya

Wallahuaklam.

Doktor itu merujuk saya kepada Klinik Pakar Gastro di Hospital Kuala Lumpur. Saya diarahkan pergi hari itu juga untuk membuat temujanji seterusnya.




Keluar dari bilik perundingan, saya mendapatkan suami. Tiada kekuatan untuk bercerita saat itu. Saya hanya bercerita ketika dalam perjalanan menuju ke kereta. Suami tenang mendengar keputusan darah itu. Sebenarnya, saya sendiri tidak dapat membaca hatinya. Air mata saya gugur tak tertahan. 

Suami menghantar saya ke HKL. Memandangkan ini kali pertama kami pergi ke Klinik Pakar, agak sukar juga mencari tempat yang ingin dituju.

Kami parking di hadapan klinik untuk pesakit luar. Tak tahu mana harus dituju saya bertanya dengan seseorang. Syukur, seorang petugas di situ, mungkin Sister (saya pun tak pasti) menunjukkan arah tempat itu. Jaraknya agak jauh dan memerlukan kami menaiki Shuttle yang disediakan oleh pihak hospital.  Bosan menunggu kami membuat keputusan untuk berjalan sahaja. Bersiar-siar sambil menenangkan fikiran. Opss..dengan mata yang bengkak dan merah kerana menangis.

Kami ke bangunan baru yang menempatkan Klinik-klinik pakar dalam satu bangunan baru yang moden. Rupanya, Klinik Gastro belum lagi dipindahkan. Ianya masih lagi di bangunan lama. Kami terpaksa berpatah balik, syukur akhirnya kami menemui tempat yang betul. 

Saya diberi tarikh untuk temujanji seterusnya dengan doktor pakar dan diarahkan datang sebelum tarikh itu untuk mengambil sampel darah selepas cuti raya.

Allah memang sayangkan saya. Mula-mula Dia gerakkan hati saya untuk menderma darah, dengan niat untuk menolong orang. Kemudian, saya didapati Hepatits B positif. Dia mahu saya merayu, merintih dan mendekatkan diri denganNya.

Ya Allah, aku redha dengan ketentuanmu ya Allah!

No comments: