Resepi Puding Karamel - CIK MIL MILA

Sunday, June 11, 2017

Resepi Puding Karamel

Resepi Puding Karamel

Dua hari lepas, anakanda Nurin kepingin sangat mahu puding karamel. Mama sibuk sangat jadi asyik menangguh-nangguh. Sudahnya pukul 6.30 petang baru mula buat. Nurin bancuh semua bahan. Mama cuma buatkan karamelnya. Buatnya sekejap saja tapi nak bakar tu 45 minit. Makanya masuk dalam oven terus tinggal sebab berbuka puasa di surau.

Balik tadarus malam masing-masing tak sabar nak tengok hasilnya. Belum sempat potong dah kena cuit dengan Nurin Sofea. Hehe. Walaupun ada sedikit pecah tapi tak mengubah tekstur dan rasanya yang sedap.
Bila muat naik status di FB ramai juga yang tanya resepi.  Jom saya kongsikan. Resepi ni asalnya resepi Google dari pelbagai blogger yang saya sudah ubah ikut selera sendiri. Derhaka sedikit tak apa kan. Semoga Allah memurahkan rezeki blogger-blogger tu semua. Aamiin

Untuk karamel

5 sudu besar gula pasir

Caranya:

Banyak resepi menggunakan air, tapi saya tak letak yang penting gunakan kuali non stick supaya tak melekat. Sentiasa kacau sehingga gula cair sepenuhnya dan keperangan. Tutup api dan tuang ke dalam loyang saiz 6". Biarkan seketika sementara tu kita buat pudingnya. 


Untuk puding

400ml susu. Saya guna susu full cream. Ikut citarasa masing-masing la ya. Boleh guna juga susu cair atau low fat.
5 biji telur gred A
Satu sudu teh esen vanilla
5 sudu gula kastor


Caranya:

Satukan kesemuanya ke dalam mangkuk besar. Kacau perlahan. Boleh guna hand whisk atau garfu. Cukuplah sehingga sebati semuanya. 

Kemudian, tapiskan bancuhan puding ke dalam loyang karamel tadi. Bancuhan ditapis untuk mendapatkan tekstur yang halus dan lembut. Sebelum tu lupa nak bagitau, karamel yang kita masukkan tadi akan keras. Jangan panik pula sebab dia akan cair bila kita kukus/bakar. 

Bolehlah kukus. Tapi saya tak suka kukus jadi saya bakar guna kaedah bain marie. Saya isikan loyang yang lebih besar dengan air panas dan masukkan loyang puding tu ke dalam loyang yang ada air tu. Tutupkan dengan aluminium foil di atasnya. 

Bakar pada 170 celcius api atas bawah selama 45 minit atau hingga masak ikut kepanasan oven masing-masing ya. 

Dah masak terbalikkan puding tu ke dalam pinggan. Tapi tunggulah sejuk dulu. Hati-hati ya. 

Resepi Puding Karamel
Puding karamel setelah dipotong
Selamat mencuba ya.

No comments: