ADA rakan saya merungut kerana anak bujangnya
yang sudah berusia sembilan tahun masih menyelit di atas katil
bersamanya dan suami tatkala terjaga dari tidur. Walaupun sudah
disediakan kelengkapan bilik tidur dengan peralatan televisyen dan
permainan video, dia masih takut tidur sendiri.
Ulas rakan saya ini lagi, dia bimbang jika ketika anaknya masuk ke
bilik dia dan suami dalam keadaan yang tidak sepatutnya, sudah tentu ini
memberi kesan kepada pemikiran mereka.
Dalam masyarakat Melayu sejak kecil kita sudah diasuh untuk tidur
bersama ibu bapa. Walaupun mempunyai ruang bilik yang sempit, ini tidak
menjadi masalah kerana kebanyakan ibu bapa sanggup tidur di ruang tamu
bersama anak.
Perkara ini berlarutan sehingga anak berusia enam atau tujuh tahun. Malah dalam sesetengah keadaan ada anak yang berusia sembilan tahun masih ‘tidak malu’ tidur bersama ibu kerana berasakan perbuatannya tidak pernah ditegah atau dilarang ibu bapa.
Perkara ini berlarutan sehingga anak berusia enam atau tujuh tahun. Malah dalam sesetengah keadaan ada anak yang berusia sembilan tahun masih ‘tidak malu’ tidur bersama ibu kerana berasakan perbuatannya tidak pernah ditegah atau dilarang ibu bapa.
Keadaan ini sudah pasti menimbulkan rasa kurang selesa kepada ibu bapa kerana mereka tidak mempunyai ruang waktu eksklusif bersama. Pada masa sama, anak tidak tahu batas peribadi yang tidak boleh dicerobohi mereka.
Bagi pasangan suami isteri Nor Zuraini Shibi, 31, dan Nazri Masdor, 37, keselesaan serta keinginan yang kuat untuk mengajar anak berdikari menyebabkan kedua-dua mereka mengambil kata sepakat mengasingkan anak tidur seawal usia tiga tahun. Anak sulung, Syafiqah Amirah, 6, mula diajar tidur sendiri pada usia dua setengah tahun.
Pada mulanya memang agak sukar kerana mereka masih takut dan kembali ke bilik tidur ibu bapa beberapa jam selepas itu. Dalam hal ini ibu bapa memainkan peranan penting memujuk anak kembali ke tempat tidur dengan cara menyanyi atau membacakan buku kesukaan mereka.
“Sebelum tidur saya akan bercerita, menyanyi atau berzanji supaya mereka leka dan tidur sendiri. Keadaan ini berlarutan sehingga lima ke enam bulan lamanya.
Apabila anak sudah dapat menyesuaikan diri, mereka tidak lagi tidur bersama ibu bapa,” katanya yang akan menjenguk bilik tidur anaknya bagi memastikan mereka dalam keadaan selesa dan selamat.
Sebagai ibu memang ada kalanya timbul rasa kasihan dan bimbang apatah lagi memikirkan keselamatan anak. Namun, ibu bapa perlu kuatkan semangat dan sabar menghadapinya.
Dalam hal ini, ibu tidak perlu bersikap berlembut sebaliknya cuba membimbing anak untuk tidur sendiri mungkin dengan menyediakan hiasan bilik mengikut pilihan mereka.
“Misalnya, saya mengajak Syafiqah memilih langsir dan cadar mengikut pilihan hatinya. Daripada situ dia seronok mempunyai bilik sendiri. Memang ada ibu bapa yang tidak mampu menyediakan kelengkapan bilik tidur anak. Tidak perlu membeli perabot mahal, apa yang penting keperluan asas seperti katil, tilam dan meja,” katanya.
Selepas kelahiran anak kedua dan ketiga, Sofea Azrina, 5, dan Ahmad Harees Syafiq, 3, Zuraini turut menetapkan matlamat yang sama iaitu memisahkan tempat tidur anaknya sama seperti usia kakaknya. Mungkin kerana melihat Syafiqah selesa tidur di bilik, jadi tidak susah membimbing adiknya.
“Sofea lebih berdikari dan mudah diajar. Dia dengan rela hati tidur bersama kakaknya di bilik, begitu juga Harees yang tidak meragam apabila saya membiarkan dia tidur berasingan apabila mencecah usia dua tahun.
“Bagi memastikan mereka tidak bangun menyusu, sebelum tidur saya akan pastikan kedua-duanya minum susu dan buang air kecil terlebih dulu. Tetapi anak saya sangat berdikari kerana pada usia tiga tahun, mereka sudah bangun sendiri ke bilik air,” katanya.
Bagi Nazri, banyak kebaikan memisahkan tidur anak pada usia awal. Selain memudahkan ibu, anak menjadi lebih berdikari, matang dan kurang manja. Mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta tidak selalu bergantung kepada ibu bapa.
“Ini dapat dilihat apabila pulang ke kampung, saya boleh meninggalkan mereka bersama nenek tanpa ditemani ibu. Anak juga terdidik menghormati orang tua pada usia muda kerana mereka sudah tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan,” katanya yang turut dididik ibu untuk tidur berasingan sejak berusia tiga tahun lagi.
Bagi Yong Rafidah, 33, melatih anak tidur berasingan biasanya bergantung kepada karakter serta tahap keyakinan seseorang anak. Anak sulungnya, Akmal Hadi Andy Adib, 7, mula dipisahkan tempat tidur pada usia empat tahun. Ini kerana dia agak manja dan masih kencing malam.
Berbeza dengan anak kedua, Atuf Batrisya, 3, yang lebih senang dibentuk dan mudah dipisahkan tempat tidur ketika berusia dua setengah tahun.
“Pada mulanya saya kurang yakin dengan Batrisya kerana mempunyai pengalaman yang sukar dengan Akmal. Namun, pada malam pertama dia langsung tidak menangis sehingga ke pagi. Baru saya sedar dia mempunyai tahap keyakinan lebih tinggi berbanding abangnya. Bagi mengelak dia bangun menyusu, saya pastikan Batrisya minum dulu sebelum tidur,” katanya.
Sebelum mengasingkan anak, Yong menyediakan kelengkapan tidur seperti katil, almari, anak patung, tilam dan cadar kesukaan mereka.
“Saya juga sentiasa berbual-bual dengan anak supaya mereka tahu yang mereka sudah besar dan tidak lagi boleh tidur bersama ibu bapa,” katanya.
Bagi pemilik butik, Camy Shaharidah Jaafar, dia mula melatih anaknya tidur sendiri pada usia dua tahun. Untuk tujuan keselamatan dan mudah mengesan jika anak menangis, dia meletakkan alat pemantau (monitor) bayi di dalam bilik.
“Penggunaan alat ini sangat membantu ibu bapa mengawasi anak dari dalam bilik.
Dengan adanya alat kawalan ini, ibu boleh meninggalkan anak seawal usia setahun di bilik berasingan,” katanya.
Menurut Camy, anak sulungnya Qamilla Putri, 12, diasingkan tempat tidur ketika usia dua tahun, begitu juga anak kedua, Qazim Andeka, 7. Walaupun masih menyusu, ini tidak menjadi masalah kerana Camy sudah menyediakan susu bersama alat pemanas bagi memudahkan anaknya mengambil sendiri apabila mereka dahaga.
“Ramai ibu bapa mengakui mereka tidak sanggup memisahkan anak kerana masih menyusu dan kencing malam. Sebenarnya apabila ibu sudah membuat perancangan dan melatih mereka melakukannya, ini tidak menjadi masalah.
“Apa yang penting ibu bapa perlu menerangkan mengapa pentingnya tidur sendiri,” katanya yang membacakan buku cerita kepada dua anaknya sebelum mereka tidur.
Bagi memberi keseronokan, Camy menyediakan kelengkapan bilik seperti yang disukai Qamilla dan Qazim. Dia juga melatih mereka tidur awal pada jam 9.30 malam kecuali pada waktu cuti bagi memberi peluang mereka menonton televisyen.
wah...caiyok2...dah besar anak dara 2 org tue..hihihi
ReplyDelete