Apakah Penyakit Diabetes atau Kencing Manis? - CIK MIL MILA

Tuesday, May 6, 2014

Apakah Penyakit Diabetes atau Kencing Manis?

Diabetes mellitus atau biasa disingkatkan sebagai DM merupakan penyakit yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita. Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit kencing manis. Diabetes banyak dideritai oleh orang tua namun tidak terkecuali orang muda. Penghidap diabetes makin dikenal pasti di kalangan dewasa berumur bawah 50 tahun dan selalunya di tahap teruk.

Penghidap diabetes mempunyai paras gula yang tinggi dalam darah yang disebut sebagai hiperglisemia. Sekitar 20.1% penduduk berumur lebih 30 tahun di Malaysia (Kajian Morbiditi Kesihatan Malaysia 2011) menghidap diabetes. Sayangnya, ramai yang tidak menyedari mereka adalah penghidap diabetes sehingga menjadi kronik dan mempunyai komplikasi jangka panjang.

Mungkin ramai orang yang bertanya, apakah itu penyakit Diabetes mellitus? Apa punca yang menyebabkan diabetes? Mengapa diabetes terjadi?

Pada umumnya, penyakit Diabetes mellitus terjadi disebabkan oleh kegagalan organ pankreas berfungsi secara normal. Pankreas berfungsi merembeskan horman insulin. Hormon insulin bertanggungjawab memudahkan kemasukan gula ke dalam sel untuk sumber tenaga. Jika pankreas gagal berfungsi dengan baik, hormon insulin tidak dihasilkan dengan cukup. Ini menyebabkan terdapat lambakan gula di dalam saluran darah. Gula tidak akan dibekalkan ke dalam sel dengan mencukupi menyebabkan individu berasa kurang tenaga. Maka penghidap diabetes akan berasa keletihan dan kekurangan tenaga.

Selain daripada itu, diabetes juga boleh berlaku apabila sel menjadi kurang sensitif dengan insulin walaupun pankreas menghasilkan jumlah insulin yang mencukupi. Ini terjadi apabila terdapat jumlah lemak yang tinggi di dalam badan sehingga mengganggu sensitiviti dan metabolisma sel terhadap insulin. Masalah ini menyebabkan kurang kemasukan gula ke dalam sel untuk tenaga. Situasi ini berlaku di kalangan individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Terdapat dua jenis penyakit diabetes yang utama; penyakit DM yang memerlukan insulin sejurus selepas diabetes dikesan – Diabetes jenis 1 (Type 1 Diabetes Mellitus) dan individu ini bergantung dengan insulin sepenuhnya. Jenis kedua adalah diabetes jenis 2 (Type 2 Diabetes Mellitus) yang memerlukan rawatan ubat-ubatan oral di peringkat awal untuk mengawal paras gula dan hanya memerlukan insulin apabila gula sukar dikawal oleh rawatan oral.

Di samping itu, ada juga penyakit diabetes yang disebabkan oleh kehamilan, pengambilan ubat steroid tanpa kawalan, masalah penyakit genetik dan lain-lain.

Bagi diabetes jenis 2, kawalan paras gula darah boleh dilakukan melalui perubahan gaya hidup dan tabiat pemakanan. Berdasarkan pelbagai kajian, perubahan tersebut terbukti berkesan mengurangkan risiko diabetes dan membantu mengawal paras gula di kalangan penghidap diabetes. Oleh kerana itu, sangat penting bagi anda untuk mengetahui jika anda menghidap diabetes atau tidak.

Apakah Gejala Diabetes?


Ada beberapa tanda dan gejala diabetes yang dapat anda kenali sebagai gejala umum yang terjadi pada penghidap diabetes. Walau bagaimanapun, tidak semua tanda dan gejala akan dialami oleh pesakit diabetes.
  • Tanda dan gejala diabetes adalah :
  • Jumlah air kencing yang dikeluarkan lebih banyak dan kerap kencing (Polyuria)
  • Sering atau cepat rasa haus/dahaga (Polydipsia)
  • Lapar yang berlebihan atau makan banyak (Polyphagia)
  • Urin mengandungi paras gula yang tinggi (Glycosuria)
  • Berat badan turun mendadak
  • Rasa kebas pada hujung saraf di telapak tangan & kaki
  • Cepat penat dan lemah sepanjang masa
  • Mengalami rabun penglihatan
  • Luka lambat sembuh
  • Mudah terkena jangkitan kuman terutama pada kulit.
Bagi diabetes Jenis 1, gejala utama penyakit ini adalah sakit perut, kehilangan berat badan yang mendadak dan dahaga yang berterusan. 
Sumber: Google


Apakah Yang Patut Dilakukan?

Seseorang dikatakan menghidap diabetes apabila paras gula dalam darahnya melebihi 7.0 mmol/L (berpuasa) atau 11.1 mmol/L (tidak berpuasa). Namun, kebanyakan gejala diabetes hanya berlaku apabila gula darah melebihi 15 mmol/L.

Jangan tunggu sehingga anda mendapat gejala diabetes untuk mengetahui kehadiran diabetes. Satu-satunya cara yang tepat untuk mengetahuinya adalah dengan menjalani ujian darah.

Pemeriksaan ujian saringan ini boleh dibuat di mana-mana klinik kesihatan di Malaysia sekurang-kurangnya sekali setahun.

Kesimpulan

Pencegahan amat penting dan anda disarankan untuk mendapatkan rawatan intensif jika ingin mengelakkan berlakunya komplikasi dalam badan anda.

Bagi mereka yang mempunyai faktor risiko diabetes, anda digalakkan agar menjalani pemeriksaan saringan bagi paras gula dalam darah sekurang-kurangnya sekali setahun.

Jika perkara ini tidak diberi perhatian dari awal, gangguan pada saluran darah boleh terjadi seperti gangguan pada saluran darah di otak, mata, jantung, ginjal, serta bahagian kaki. Selain itu penghidap diabetes juga sangat mudah mendapat jangkitan kuman pada paru-paru, gigi, serta gusi dan pada saluran kencing.

Mencegah lebih baik daripada mengubati, dengan mengenali tanda-tanda dan gejala diabetes melitus atau kencing manis individu akan lebih berwaspada dan mengambil tindakan dengan menjalani cara hidup sihat. Langkah ini boleh menghindarkan individu daripada mendapat diabetes dan komplikasi yang boleh membawa maut.

Sumber: Portal MyHEALTH KKM

Call/whatapps/sms: 019 2250752 
Email : normila.muhamad@gmail.com 
Add FB: https://www.facebook.com/normila.muhamad 
Like Fan Page: https://www.facebook.com/MamanurinsVitaminShop 
Blog Urus Akaun Bisnes Kecil: www.normilamuhamad.blogspot.com 
*Produk ini bukan bertujuan untuk mendiagnos, merawat, menyembuh atau mencegah sebarang jenis penyakit

No comments: