Iya, saya dah kembali bekerja sejak pertengahan Februari tahun ini. Tahun lepas pun saya bekerja juga tetapi sebagai guru. Saya berhenti pada akhir bulan November, setelah selesai sesi persekolahan 2018.
Kenapa berhenti sebagai guru? Saya berhenti untuk menguruskan anak-anak saya. Tahun ini kedua-dua anak saya ada peperiksaan penting. Nurin akan menghadapi peperiksaan UPSR dan PSRA. Alya pula akan menhadapi peperiksaan UPKK. Sofea pula baru 4 tahun. Tiada peperiksaan untuknya. Atas inisiatif sekolah, guru-guru akan mengadakan kelas tambahan untuk tahun enam setiap hari selepas waktu persekolahan mulai jam 1.45 petang hingga 3.45 petang dan kemudiannya perlu ke sekolah agama sehingga jam 6.10 petang. Tiada perubahan jadual untuk Alya.
Setelah dirisik-risik, kami dapati tiada transport yang boleh menghantar Nurin dari sekolah kebangsaan terus ke sekolah agama selepas kelas tambahan. Oleh kerana itu, suami kata saya perlu berhenti kerja untuk menguruskan persekolahan anak-anak.
Bulan Disember, saya sudah berhenti dan seperti tahun sebelum-sebelumnya kami sekeluarga akan balik kampung selama 2 minggu untuk menempah baju sekolah (tailor made by my sister in law) dan berehat bersama adik-beradik dan saudara di Kota Tinggi, Johor.
Sudah tertulis dalam takdir saya, kawan kepada adik ipar saya mempelawa saya menghantar resume kepada syarikat dia bekerja. Akauntan syarikat tu sudah berhenti tanpa notis! Kemungkinan akauntan diperlukan segera untuk mengisi kekosongan itu. Saya pula belum bersedia untuk kembali bekerja kerana perlu hantar anak pergi balik sekolah. Masa dia text saya tu 29hb November, 2018. Baru je berhenti kerja. Memandangkan saya masih di Johor, saya tidak boleh menghadiri temuduga sekiranya perlu.
Perbualan WhatsApp |
Dia memujuk saya untuk mencuba nasib. Saya pun update resume saya dan email kepada boss dia. Bulan November, masuk bulan Disember, dah hujung Disember barulah dapat offer interview. Interview nya pulak Bulan Januari. Lepas interview, tak ada apa-apa berita lagi. 14hb Januari barulah dapat call, yang saya dapat kerja. Syukur Alhamdulillah. Masuk kerja lepas raya cina 13hb Februari. Lama juga prosesnya kan? Ada la juga masa nak uruskan pengangkutan anak-anak. Nak masukkan Sofea ke tadika dan daycare yang baru dan macam-macam urusan lain. Allah Maha Mendengar. Semua urusan saya dipermudahkan A-Z. Terima kasih kepada yang membantu baik secara langsung ataupun tidak. Tak sangka sangat laluan ini dipermudahkan.
Mula-mula agak sukar mencari pengangkutan untuk anak-anak saya. Kebanyakannya sudah penuh maklumlah saya tak mulakan dari awal tahun. Dengan izin Allah, tiba-tiba je ada pengangkutan untuk anak-anak saya. Kebetulan ada beberapa murid yang pindah sekolah berasrama jadi adalah slot untuk anak-anak saya.
Sofea pula sangat serasi di sekolah baru. Mula-mula menangis juga, sebab belum biasa. Lama-lama seronok. Siap pesan kat mama jangan ambil awal, tak puas main. Aduhaii anakanda yang manja ni, sudah pandai berkawan.
Semuanya berlaku dengan izin Allah. Sungguhpun saya tak merancang untuk kembali bekerja, namun saya bersyukur dengan peluang ini. Doakan perjalanan karier dan urusan rumahtangga dipermudahkan. Allahumma Aamiin
No comments: